Thursday 6 October 2011

Kemalangan Ngeri di Tawau

Posted by Vee at 11:06
TAWAU: Gara-gara memandu dengan laju, sepasang kekasih maut apabila kenderaan mereka terbabas dan merempuh tembok batu selepas gagal mengelak seekor anjing yang sedang melintas jalan di Kilometer 5, Jalan Kuhara.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, pemandu kereta Nissan Fairlady 350Z dikenali sebagai Tam, 35, maut di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaannya yang hancur, manakala teman wanitanya dikenali Lo, 27, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan.

Difahamkan, sebelum kejadian, pasangan terbabit dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke kawasan perniagaan di Hot Spring, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Siasatan awal mendapati, kenderaan mewah itu dipandu laju dan pada masa sama gagal mengelak seekor anjing yang melintas jalan itu dan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke dalam parit besar di kiri jalan.

"Kami percaya kereta itu dipandu dengan laju menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas ke (dalam) parit," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Menurut Ibrahim, polis turut menemui bangkai anjing yang dipercayai dilanggar mangsa. “Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian termasuk pemandunya tersepit dan dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat beberapa jam kemudian,” katanya.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes kemalangan maut dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta mengesahkan kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk (remuk) dan ditempatkan di IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Operasi, Norhaini Jumdani dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau yang dihubungi oleh Utusan Borneo berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 2.38 pagi.

“Ketika tiba di lokasi kejadian pada jam 2.45 pagi, kita dapati terdapat dua mangsa yang terlibat. Mangsa lelaki tersepit di dalam kereta, manakala tubuh mangsa wanita pula tercampak ke dalam parit dalam keadaan yang tidak sempurna.

“Kita menemui kepala mayat wanita itu di dalam kereta berkenaan, manakala sebelah tangan dan sebelah kakinya pula berada di atas jalan raya,” katanya sambil menerangkan kerja-kerja mengeluarkan mayat lelaki dari kenderaan terbabit berjalan lancar.

Bagaimanapun, Norhaini berkata, pihak bomba terpaksa menggunakan alat pemotong hidraulik untuk melepaskan mayat mangsa lelaki dari dalam kenderaan terbabit dan berhasil mengeluarkannya selepas kira-kira 34 minit kemudian iaitu pada jam 3.19 pagi.

Dalam pada itu, penjaga Lotus Buddhism Studies Mission Tawau, John, 39, berkata, beliau terdengar dentuman yang kuat dan keluar untuk memeriksa arah bunyi berkenaan sebelum mendapati sebuah kenderaan telah terbabas di dalam parit berhampiran kuil.

Difahamkan, mendiang Tam memiliki sebuah salon kecantikan manakala Lo pula merupakan seorang graduan dari England yang bekerja di Singapura serta baharu sahaja tiba di Tawau pada Selasa lepas.

Sebelum kejadian itu berlaku, pasangan kekasih itu dikatakan baharu pulang dari majlis hari jadi rakan mereka dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terlibat di dalam nahas ngeri berkenaan.

Gambar kaki mangsa perempuan yang terputus di tempat kejadian


Nissan Fairlady 350Z  yang remuk akibat kemalangan tersebut

Mendiang Tam
Sumber: Borneo Post

0 comments:

Post a Comment

 

Suaraku... Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Women's Secret